My Add

Thursday 29 August 2013

Negara perlu dasar fiskal baharu

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
 
 
KUALA LUMPUR, RABU, 28 Ogos, 2013: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), rasionalisasi subsidi dan kajian semula Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) adalah antara beberapa langkah fiskal baharu yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pertumbuhan berterusan ekonomi negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Mohamad Hanadzlah berkata, kesesuaian langkah-langkah itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Polisi Fiskal minggu depan dalam usaha kerajaan melaksanakan pengurusan perbelanjaan lebih baik dan meningkatkan pendapatan negara.

"Mesyuarat jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan melihat segala pilihan yang ada bagi memastikan kedudukan ekonomi negara kekal kukuh," katanya dalam sesi taklimat media mengenai dasar fiskal baharu kerajaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dasar-dasar baharu perlu diperkenalkan kerana Malaysia kini sedang menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar akibat penurunan eksport disebabkan keadaan ekonomi dunia yang lemah.

"Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai ketidakseimbangan pasaran hartanah, peningkatan jumlah hutang isi rumah, peningkatan hutang kerajaan dan defisit fiskal," katanya.

Walaupun demikian, katanya, kerajaan tetap komited untuk mencapai tiga garis panduan dalam dasar fiskal iaitu hutang negara tidak akan melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), perolehan sentiasa melebihi perbelanjaan operasi dan defisit fiskal 2013 tidak akan melebihi empat peratus dari KDNK.

Beliau berkata, untuk tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar peruntukan untuk subsidi, insentif dan bantuan sosial.

"Kerajaan juga sedang mengkaji langkah-langkah untuk menyusun semula dan perbelanjaan sasaran yang lebih baik, termasuk subsidi, bagi memastikan perbelanjaan mempunyai lebih nilai.

"Projek-projek yang mempunyai impak besar kepada kewangan awam juga akan dikaji dan disusun dengan betul, untuk mengelak bebanan berlebihan kepada belanjawan persekutuan," kata beliau.

Bagaimanapun, Husni berkata, kerajaan tetap komited untuk meneruskan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Katanya, kerajaan juga akan memperkenalkan belanjawan berasaskan hasil (OBB) di Kementerian Kewangan, Kesihatan serta Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam usaha untuk meningkatkan lagi pengurusan berhemat perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, ketiga-tiga kementerian utama itu akan menjadi sebahagian daripada program perintis bagi OBB.

Di samping itu, bidang-bidang lain yang boleh dipertimbang dalam pelaksanaan dasar fiskal baharu, termasuk mengubah pemberian subsidi secara menyeluruh kepada sistem yang lebih efisien iaitu terus kepada golongan sasaran. - UTUSAN

 

No comments:

Post a Comment