My Add

Thursday 29 August 2013

Pelaburan RM97.4 bilion, lepasi prestasi tahun lalu

 Noharuddin Nordin 
KUALA LUMPUR, RABU, 28 Ogos, 2013: Pelaburan yang diluluskan sepanjang separuh pertama 2013 di negara ini berjumlah RM97.4 bilion, melepasi prestasi yang telah dicapai dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pelaburan daripada sektor perkhidmatan telah menjadi penyumbang tertinggi dalam pelaburan yang diluluskan di negara ini diikuti, pembuatan dan sektor asas.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Noharuddin Nordin berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian pelaburan itu walaupun ekonomi dunia masih berada dalam persekitaran lemah.

Katanya, sektor perkhidmatan menyumbang pelaburan negara sebanyak 59.7 peratus atau RM58.1 bilion, diikuti pembuatan (23.1 peratus atau RM22.5 bilion) dan sektor asas sebanyak 17.2 peratus atau RM16.8 bilion.

Jelasnya, pelaburan separuh pertama turut menyaksikan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, namun jumlah projek sedikit menyusut, tetapi negara banyak menerima projek yang bernilai tambah tinggi.

"Kami yakin bahawa pelaburan sepanjang tahun ini berjaya melepasi jumlah pelaburan pada tahun lalu yang berjumlah RM167 bilion.

"Dalam tempoh separuh pertama, sebanyak 90,881 peluang kerja baharu berjaya diwujudkan dengan 2,652 projek telah diluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan prestasi pelaburan separuh pertama 2013 di sini hari ini.

Pelaburan domestik bagi tempoh separuh pertama berjumlah RM66.7 bilion atau 68.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang telah diluluskan sementara pelaburan asing yang telah diluluskan sebanyak RM30.7 bilion.

Menurut Noharuddin, MIDA masih dalam proses berunding dengan beberapa syarikat multinasional bagi mendapatkan pelaburan sepanjang tahun ini.

Katanya, setakat ini, pelaburan berpotensi yang berada di bawah rundingan MIDA berjumlah RM39.7 bilion.

"Kami kini dalam proses rundingan rundingan dengan syarikat-syarikat berasaskan kimia serta elektrik dan elektronik," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment