My Add

Thursday 29 August 2013

Pembaris 'ajaib' pertama di dunia

 *ABDUL Hassim Halddin menunjukkan perbezaan penulisan setelah menggunakan Pembaris SIM ciptaannya yang boleh menyelesaikan masalah tulisan 'cakar ayam' di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU, RABU, 28 Ogos, 2013: Masalah tulisan 'cakar ayam' anak-anak dan pelajar yang sering menghantui para pendidik dan ibu bapa di negara ini bakal berakhir apabila seorang guru berasal dari Lahad Datu dekat sini berjaya mencipta alat bagi mengatasi masalah itu dengan cepat.

Dengan menggunakan pembaris 'ajaib' ciptaan guru di Sekolah Kebangsaan Batu 6 1/2 Segama di Lahad Datu itu, masalah tulisan 'buruk' pelajar dan golongan dewasa dapat diselesaikan dalam tempoh paling singkat, antara lima minit dan 20 minit sahaja.

Menurut pencipta alat berkenaan, Abdul Hassim Halddin, alat yang dikenali sebagai Pembaris SIM yang menggunakan singkatan nama beliau dan bermaksud Senang, Ingat dan Mudah itu dibuat hasil kajian dan usaha beliau selama 12 tahun.

Beliau berkata, alat tersebut yang terbukti mampu mengubah tulisan pelajar dalam kadar segera telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan mempunyai dua versi iaitu untuk tulisan bulat menegak dan tulisan miring atau senget.

Tambahnya, alat berkenaan yang mungkin pertama di dunia juga mempunyai fungsi lain seperti sebagai penanda buku dan untuk 'scanning' semasa membaca buku.

"Penggunaan pembaris SIM ini juga amat mudah iaitu pengguna hanya perlu meletak dan menggunakannya dengan betul. Hanya dengan meletakkan cangkuk alat ini di tepi buku dan menulis di ruangan tengahnya berdasarkan panduan mudah, pengguna akan dapat melihat perubahan ketara tulisan mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysiadi sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang telah berkhidmat sebagai guru kira-kira 23 tahun berkata, idea untuk mencipta pembaris 'ajaib' tersebut sebenarnya datang secara spontan selepas tanpa jemu melakukan pelbagai kaedah seperti kaedah penyambungan titik bagi mencantikkan tulisan murid sejak sekian lama.

"Alhamdulillah ketika mengajar di sebuah kelas saya mendapat idea spontan kurniaan Allah selepas melihat tulisan 'cakar ayam' seorang murid yang tidak berubah.

"Kebetulan pada masa itu terdapat kotak Colgate dan saya terus menggunakan kotak berkenaan membuat alat itu sebelum meminta murid berkenaan menulis, hasilnya amat mengejutkan kerana tulisannya terus berubah," katanya.

Sementara itu, beliau berharap inovasi tersebut dapat dikembangkan ke seluruh negara bagi membantu para pendidik dan ibu bapa menyelesaikan masalah tulisan cakar ayam di kalangan pelajar.

"Pada masa ini Pembaris SIM ini mendapat tempahan daripada beberapa pihak, termasuk dari Pejabat Pendidikan Daerah. Saya juga berharap pihak-pihak lain termasuk Kementerian Pendidikan dapat membantu saya mengembangkan lagi inovasi ini demi memartabatkan pendidikan di negara ini," katanya

Untuk maklumat lanjut mengenai produk berkenaan boleh menghubungi Abdul Hassim di talian 013-5426538. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment