My Add

Thursday 29 August 2013

Shuhaimi Baba kecewa, NGO anggap tidak patriotik

Oleh ABD. AZIZ ITAR dan ROSALINDA MD. SAID

KUALA LUMPUR, RABU, 28 Ogos, 2013: Pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau lebih dikenali sebagai Shumi kecewa apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membenarkan tayangan filem tersebut di negeri itu hari ini.

Pulau Pinang satu-satunya negeri yang menghalang tayangan filem berunsur patriotik dan kenegaraan itu yang dijadualkan memulakan tayangannya di pawagam-pawagam mulai esok.

Shumi dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia berkata, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sesuatu yang tidak matang kerana dia belum menonton filem ini.

''Sikap prejudis meracun rasionalnya. Saya malu ada seorang yang berjawatan tinggi yang menyalahgunakan kuasanya sesuka hati dan menjadikan kami mangsanya.

''Dia sepatutnya boleh membezakan antara politik sempitnya dan industri kreatif negara serta kami sebagai karyawan dan filem ekspresi kami. Tentu dia sedar tindakan sengkek ini memang salah secara moral kan?

''Siapalah kami ini, kami hanya pembikin filem nak berhadapan dengan Ketua Menteri yang berkuasa kuku besi dan bongkak,'' katanya.

Jelas Shumi, beliau difahamkan surat arahan bagi menghalang tayangan itu telah dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Perlesenan Pulau Pinang, Azman Sirun hari ini yang mana ia berlawanan dengan kelulusan yang diberikan oleh Finas dan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang di bawah agensi kerajaan tersebut.

"Mereka telah memaklumkan kepada saya. Saya kata keputusan saya tetap sama iaitu mahu Tanda Putera ditayangkan juga di Pulau Pinang. Kalau pawagam ingkar dengan arahan itu lesen mereka boleh ditarik balik," jelasnya lagi.

Zizan Nin yang melakonkan watak Tun Dr. Ismail dalam Tanda Putera turut kesal.

"Kalau orang Pulau Pinang susah sangat hendak menonton filem ini pergi sahaja ke negeri-negeri lain seperti di Kedah ataupun Perak atau datang sahaja di panggung-panggung wayang di KL (Kuala Lumpur) ini nanti biar saya dan para pelakon lain menunggu anda," komennya sewaktu dihubungi di sini.

Sementara itu Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, pendirian Guang Eng itu sama sekali tidak profesional dan patriotik apabila jelas menunjukkan helahnya untuk menutup fakta-fakta yang diyakini mampu menggagalkan usaha bagi menghapuskan sejarah yang tidak berpihak kepada mereka.

"Persoalannya, siapa dia untuk menghalang tayangan Tanda Putera? Filem itu adalah hak milik rakyat dan adalah tidak munasabah bagi individu yang tidak pernah menonton tetapi terlalu banyak melontarkan tuduhan.

"Sekiranya Guan Eng berterusan tidak boleh menerima sejarah adalah lebih baik dia sahaja yang keluar dari negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, arahan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip keterbukaan sebenar yang diuar-uarkan pakatan rakyat.

"Saya beranggapan arahan ini adalah supaya rakyat Pulau Pinang tidak terdedah dengan cerita sebenar penyokong pembangkang pada tahun 1969 lebih-lebih lagi penyokong Melayu dalam parti itu," katanya.

Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim pula mempersoalkan tindakan berat sebelah Guan Eng yang menjadikan filem Tanda Putera sebagai mangsa politik.

"Apakah adil Guan Eng hanya mempertikaikan Tanda Putera? Di mana suara dia semasa negara digemparkan dengan isu filem The New Village. Ini jelas membuktikan golongan parasit bangsa dan negara telah wujud pada ketika era sebelum kemerdekaan dan saya yakin saki-bakinya masih wujud," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment