My Add

Thursday 1 August 2013

PMB rancang tarik pelabur asing

 * SOHAIMI Shahadan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Pelaburan Mara Berhad di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Pelaburan Mara Bhd. (PMB) merancang untuk menarik pelabur antarabangsa dalam meningkatkan ekuiti syarikat tersebut.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, transformasi tersebut bagi menjamin pendapatan dan selaras dengan pucuk kepimpinan baharu syarikat itu.

"Kita tidak mahu bergantung pada mana-mana badan dan cuba untuk menjadi sebuah syarikat pelaburan yang berdikari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Berbuka Puasa anjuran PMB bersama-sama anak-anak yatim di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif, Nazim Rahman.

Terdahulu, seramai 80 anak yatim dari Teratak Che Dah, Rawang diraikan selain menerima sumbangan duit raya daripada PMB.

Menurut Sohaimi, PMB turut menyasarkan untuk terlibat secara serius dalam pelaburan berskala besar bagi meningkatkan ekuiti bumiputra.

"Ia termasuk pasaran minyak dan gas, teknologi tinggi, hartanah dan lain-lain bagi meningkat jumlah keuntungan syarikat.

"Di samping itu, ia sekaligus merupakan peluang yang baik untuk menarik pelabur asing terlibat secara langsung dalam pelaburan tersebut," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, PMB akan mengumumkan sistem pajakan berkonsepkan Islam dikenali sebagai 'ijarah' yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Instrumen skim pajakan itu mampu menjadi pemangkin dan penjana ekonomi negara sekiranya dikendalikan secara efisyen," ujar Sohaimi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment