My Add

Thursday 1 August 2013

Tiada pengaruh Syiah di UTM

JOHOR BAHRU, RABU, 31 Julai, 2013: Pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengesahkan tiada penuntut institusi itu yang terpengaruh dengan ajaran Syiah apatah lagi menyebarkan fahaman tersebut di universiti berkenaan.

Pemangku Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, pemeriksaan terperinci Bahagian Hal Ehwal Pelajar UTM mendapati, fahaman yang difatwakan haram itu tidak menular di kampus itu.

Menurut beliau, pihaknya turut melakukan pemantauan menerusi pasukan khas yang ditubuhkan di bawah kelolaan Pusat Islam UTM bagi mengekang pengaruh anasir luar tersebut.

"Beberapa siasatan telah dilakukan pasukan terlibat dan mendapati tiada sebarang aktiviti penyebaran amalan Syiah dalam kalangan penuntut mahupun kakitangan meskipun UTM mempunyai ramai pelajar Iran," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azraai, pihaknya juga mengambil langkah mengurangkan penuntut Iran yang berfahaman Syiah dan kini memberi keutamaan kepada mereka dalam kalangan pengikut Sunnah.

"Buat masa ini, terdapat 10 penuntut Iran yang berpegang kepada amalan Sunnah di universiti ini dan jumlah itu akan dipertingkat dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya 2,000 penuntut Iran sedang mengikuti pengajian di universiti itu dengan majoriti mereka dalam bidang kejuruteraan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment