My Add

Saturday 28 September 2013

Balu Koperal Zal-Azri berterima kasih kepada PDRM

GEORGE TOWN, JUMAAT, 27 September 2013: Balu Allahyarham Kpl Zal-Azri Abdul Somad yang terkorban ketika menjalankan tugas di Melaka, Isnin lepas, berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menaikkan pangkat suaminya kepada sarjan.

Atiqah Mohd Rosdi, 29, turut melahirkan rasa terharu atas keprihatinan PDRM menghargai jasa suaminya serta pelbagai pihak lain yang terus menghulur bantuan kepadanya sekeluarga.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang sudi membantu keluarga kami, membuatkan saya rasa tidak berseorangan menghadapi dugaan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan Badan Perhubungan UMNO negeri yang disampaikan Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman di rumah ibu mentuanya, di sini hari ini.

Kenaikan pangkat Allahyarham Zal-Azri yang bertugas di Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka diumum oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu lepas.

Atiqah berkata, beliau akan mengadakan akikah anak bongsu mereka pada Aidiladha bulan depan bagi memenuhi hasrat arwah suaminya.

Allahyarham meninggalkan dua anak lelaki, Mohamad Habibullah, 4, dan Mohamad Atiqullah, lima bulan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment