My Add

Wednesday, 4 September 2013

A. Samad Said ditahan kes kibar bendera alternatif

Oleh NORHIDAYU MOHD HASSAN

KUALA LUMPUR, RABU, 04 September, 2013: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said ditahan di rumahnya di Pangsapuri Bangsar Utama di sini, tengah malam tadi bagi membantu siasatan kes mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada sambutan ambang merdeka, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, A. Samad Said yang ditahan jam 12.25 tengah malam tersebut akan disiasat mengikut Akta Hasutan atas tindakannya itu.

Sasterawan itu menerusi Twitternya juga berkata dia dibawa tiga anggota polis ke Balai Polis Dang Wangi.

Kelmarin, dua lagi individu kontroversi Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais turut ditahan polis membantu siasatan kes sama.

Pada sambutan malam ambang Merdeka baru-baru ini, Hishamuddin juga dilaporkan memberi ucapan ringkas dengan menggelarkan Jalur Gemilang sebagai jalur temberang selain mendakwa tarikh 31 Ogos adalah hari malapetaka.

Berikutan tindakan itu, beberapa individu serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa polis mengenakan tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap Hishamuddin dan Adam Adli serta sasterawan negara berkenaan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment