Thailand berdepan masalah kekurangan pekerja
BANGKOK, RABU, 04 September, 2013: Thailand berdepan masalah kekurangan pekerja mahir dan dibayar gaji harian, demikian menurut satu kaji selidik Dewan Perniagaan Thailand.
Pengarah Pusat Unjuran Ekonomi dan Perniagaan dewan itu, Thanavath Phonvichai berkata ekonomi tidak boleh berkembang tanpa pekerja.
"Jika pelabur asing melihat Thailand berdepan masalah ini, sukar bagi mereka untuk melabur dalam negara," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Kaji selidik itu yang dijalankan dari 25-31 Ogos, 2013, menunjukkan bahawa bilangan syarikat yang berdepan masalah ini meningkat kepada 35.7 peratus daripada 33.7 peratus pada April, katanya.
Kaji selidik itu yang berasaskan kepada 800 sampel, adalah bertujuan untuk melihat kesan dasar gaji minimum kerajaan.
Sementara itu, Naib Pengerusi dewan itu, Bhumindr Harinsut, berkata kerajaan perlu berunding dengan sektor perniagaan terlebih dahulu sebelum melaksanakan dasar yang boleh menjejaskan sektor terutamanya semasa tempoh pilihan raya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment