Media arus perdana perlu berani untuk tampil online
KUALA LUMPUR, ISNIN, 0September, 2013: Media arus perdana yang ingin tampil secara dalam talian atau online mesti berani mengamalkan sikap terbuka selain bahan yang dipaparkan haruslah berbeza dengan versi cetakan, kata Ketua Pengarang Kumpulan Berita Publishing Sdn Bhd, Datuk A. Kadir Jasin.
Kadir, yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata untuk muncul setanding dengan media alternatif sedia ada, media arus perdana juga perlu menguasai kecanggihan dan kemajuan teknologi terkini.
"Media alternatif ini selalunya terkehadapan dari segi teknologi dan sebab itu media arus perdana yang ingin muncul dalam talian mesti setanding selain harus tahu cari model perniagaan yang tidak merugikan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Fellowship Kewartawanan Antarabangsa 2013 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini hari ini.
Program kali keenam selama empat minggu mulai hari ini hingga 1 Oktober itu melibatkan 18 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Bahrain, Sri Lanka, Vietnam dan Zimbabwe.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata sejak mula dianjurkan, 122 orang dari 25 negara termasuk Malaysia telah menyertai program berkenaan.
Beliau berkata ia memberi pendedahan kepada wartawan mengenai bidang tugas mereka selain membolehkan rangkaian kerjasama sesama peserta diwujudkan untuk keperluan pada masa depan.
Wartawan Utusan Malaysia, Noor Diana Azis, 27, ketika ditemui berkata program itu memberi peluang kepadanya untuk mendalami tentang dunia kewartawanan.
Sementara itu, Rashid Nabeel Yaacoob Alhamer, dari Bahrain berkata beliau akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan peserta sepanjang program berkenaan.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment