My Add

Sunday, 16 March 2014

Jangan terpedaya modal perkauman

Oleh SOFIAN BAHAROM/pix
 * MOHD. Shafie Apdal menghulurkan kuih kepada penduduk Kampung Sungai Balak semasa sesi santai bersama pemimpin Barisan Nasional di Kampung Sungai Balak, Kajang, Selangor semalam. - MINGGUAN/ SAIFUL BAHARI ASHARI
HULU LANGAT, SABTU, 15 Mac, 2014: Para pengundi Kajang diminta tidak terpedaya dengan modal perkauman yang dibawa pembangkang terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun pada siri ceramah anjuran pakatan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendedahkan sentimen perkauman yang menebal oleh pembangkang itu menyasarkan penduduk berbangsa Melayu di kawasan kampung dengan mendesak mereka tidak mengundi Mei Fun hanya kerana Naib Presiden MCA itu berbangsa Cina.

Katanya, apa yang menghairankan, modal perkauman seumpama itu tidak berlaku pada pilihan raya umum tahun lalu yang menyaksikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon Cina, Lee Chin Cheh di kawasan tersebut.

"Memang terdapat usaha-usaha mereka memainkan sentimen perkauman yang mendesak penduduk kampung tidak mengundi Mei Fun kerana beliau berbangsa Cina. Saya sudah masuk ke kampung-kampung dan mengetahui tentang usaha ini.

"Mereka di ceramah mereka kata; 'Jangan undi Mei Fun, dia orang Cina, Wan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) kita undi, dia Melayu. Apa ini? Dahulu masa PKR meletakkan Chin Cheh, tiada pula usaha sebegini," katanya kepada Mingguan Malaysia selepas bertemu pengundi Kajang di Kampung Sungai Balak, Sungai Sekamat, Kajang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sungai Balak, Ir. Ahzan Saad.

Terdahulu ketika berucap, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyarankan pengundi Kajang untuk tidak mengukur sesebuah pihak dari segi kelantangan mereka memberi ucapan semata-mata tetapi melihat tindakan yang diambilnya.

Katanya, ceramah yang dianjurkan pembangkang memang 'sedap' didengari namun tiada pelaksanaan ke atas apa yang diperkatakan mereka itu misalnya di Kelantan yang menyaksikan kerajaan negeri terus bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Jangan kata di Kelantan, di Selangor juga mendapat peruntukan. Kita bukan mengungkit tetapi mahu menegaskan bahawa BN sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, kita kerajaan yang menjaga dan membela rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya rakyat menolak individu seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak sudah-sudah memecahbelahkan rakyat negara ini demi agenda peribadinya semata-mata.

"Ayuh, kita turun pertahankan hak kita sebagai rakyat yang tidak mudah diperbodohkan oleh Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang 23 Mac ini dengan menyokong BN," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment