Khalid yakin kedudukan sebagai MB Selangor tidak terjejas
KUALA SELANGOR, SABTU, 15 Mac, 2014: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor tidak terjejas meskipun wujud laporan mendakwa terdapat beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusaha untuk menjatuhkannya.
Sambil menganggap dakwaan tersebut merupakan spekulasi, beliau juga menyatakan tidak akan memberi sebarang perhatian mengenai perkara itu apatah lagi jika dikaitkan dengan mana-mana usaha untuk memburukkan reputasi beliau sebagai Menteri Besar.
"Saya tidak akan buat kenyataan itu. Saya tumpukan sepenuh tenaga untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
"Mengenai perkara itu (dakwaan menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar) untuk masa ini saya tidak perlu beri komen. Tidak ada (beri imej buruk) kepada saya. Saya bagus di Kajang," katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa terdapat beberapa pemimpin PKR dan ahli parti itu didakwa mengadakan pertemuan sulit bagi menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Menurut laporan itu, pertemuan tersebut didakwa bertujuan menarik sokongan ahli-ahli PKR Sabah kepada Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu diyakini akan mengambil alih jawatan Abdul Khalid selepas PRK DUN Kajang.
Memetik sumber, laporan tersebut menyatakan pertemuan itu diadakan secara tertutup di sebuah hotel sehari sebelum Anwar dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Rayuan kerana kes liwat.
Selain itu, pertemuan berkenaan dikatakan bertujuan memastikan ahli PKR memberi sokongan kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment