Kenyataan Majlis Peguam buktikan perlakuan Anwar
MUAR, SABTU, 15 Mac, 2014: Kenyataan Majlis Peguam bahawa hukuman penjara oleh Mahkamah Rayuan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak wajar kerana dilakukan suka sama suka sebenarnya merupakan satu lagi pengesahan perlakuan itu sememangnya berlaku.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, semua pihak mengetahui majlis tersebut sentiasa menyebelahi pembangkang dan kenyataan berkenaan juga langsung tidak membantah perbuatan seks luar tabie itu.
"Sebelum ini Majlis Peguam sentiasa memihak pembangkang dalam banyak perkara, ini jelas sekali tetapi dalam kes ini mereka tidak perasan sudah mengiyakan perlakuan liwat itu berlaku. Ini yang orang tak sedar kerana Majlis Peguam mempersoalkan mengapa
Anwar dihukum sedangkan mangsa liwat, (Mohd. Saiful Bukhari Azlan) tidak dihukum.
"Sebenarnya ini bukan soal suka sama suka atau tidak. Perkara utamanya perbuatan liwat adalah satu kesalahan undang-undang dan Mohd. Saiful Bukhari sudah pun membawa kes ini ke mahkamah," katanya mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong bahawa hukuman itu tidak wajar kerana 'dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa'.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Pengamalan Modul Keluarga Sakinah, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-39 dan Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Sultan Abu Bakar 2 di sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment