My Add

Friday, 2 September 2011

Nik Aziz tetap tolak pilihan raya DUN berasingan

TIMBUL semula perbezaan pendirian antara kerajaan negeri pakatan pembangkang berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan thun ini.

Sekalipun kepemimpinan Selangor dan Pulau Pinang bertegas dengan pendirian masing-masing untuk mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat tetap menolak cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu.

Di KOTA BHARU, Mursyidul Am Pas itu bukan sahaja menganggap candangan berkaitan tidak logiik malah tidak boleh diterima.

“Guan Eng tak biasa pegang kerajaan, saya dah pegang kerajaan bertahun-tahun,” katanya.

Nik Aziz mengulas kenyataan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu bersetuju empat negeri dikuasai pembangkang tidak membubarkan DUN masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

“Saya tidak boleh terima, jika ada pilihan raya berasingan maka ada ‘hantu’ (dan) ‘pelesit’ serang Kelantan, pada saya (cadangan) itu tidak logik,” katanya di JKR 10, Kota Bharu.

Sebelum ini Guan Eng pernah berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu bersetuju supaya empat negeri yang dikuasai pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Ditanya pemberita sama ada beliau akan berjumpa dengan pemimpin DAP itu untuk menerangkan perkara berkenaan, Nik Aziz berkata; 'Tak payah... dah terang (beritahu) dah ni'.

Di SHAH ALAM, kerajaan PKR Selangor tetap dengan pendirian untuk tidak akan membubarkan DUN kerana keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri pembangkang baru-baru.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, berkata kerajaan negeri mahu memastikan pentadbiran negeri dilaksanakan bagi tempoh sekurang-kurangnya empat tahun sebelum berhasrat membubarkan DUN.

“Walaupun Parlimen bubar, kita tidak akan bubarkan DUN dan keputusan ini kekal, malah ia dibenarkan oleh Enakmen Negeri dan tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang,” katanya.

Di GEORGETOWN, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pakatan pembangkang kekal dengan cadangannya untuk tidak membubarkan DUN yang dikuasai mereka walaupun membabitkan kos yang tinggi.

Katanya, isu pembaziran wang rakyat tidak wajar dikaitkan dengan cadangan pakatan pembangkang untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan.

"Jika PRU Ke-13 diadakan tahun ini, kita ikut cadangan tak akan bubarkan DUN kerana pakatan pembangkang masih dalam proses menunaikan janji PRU Ke-12 dan memerlukan masa seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.

“Tidak timbul isu pembaziran seperti dikatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pilihan raya adalah proses demokrasi dan ia wajib diadakan jika keadaan menuntut supaya ia diadakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment