UMNO nasihat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu balik ke landasan yang betul dan berpegang kepada prinsip takwa.
Sebagai seorang pemimpin Islam,kata Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yasin, Timbalan Presiden Pas itu patut selalu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan sentiasa bercakap benar.
Timbalan Perdana Menteri berkata di Pagoh kelmarin, tindakan Mat Sabu memutarbelitkan kenyataan adalah satu dosa.
"Kalau dah tersasul dia kena mohon ampun pada Tuhan dan bertaubat supaya tak melakukan sesuatu seperti itu lagi," katanya.
Muhyiddin mengulas tindakan Mat Sabu menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan tragedi pengganas komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Muhyiddin kesal dengan kenyataan Mat Sabu dan menyifatkan pemimpin Pas itu lebih berpolitik dan tindakannya menafikan membuat kenyataan itu serta berhasrat menyaman akhbar Utusan Malaysia hanyalah psikologi politik bagi memperbetulkan keterlanjurannya.
"Bagi saya, saya tak tahu ini gambaran Pas yang sebenarnya atau perlakuan peribadi Mat Sabu tetapi yang pastinya apabila seseorang seperti beliau berucap, beliau bercakap dalam kapasiti sebagai Timbalan Presiden (Pas)," katanya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kalau itu menjadi trend Pas pada masa akan datang, ia telah lari daripada asas perjuangan parti berkenaan.
Sementara itu, pendakwaan ke atas Mat Sabu ikut kesesuaian undang-undang sedia ada.
Di Masjid Tanah,Timbalan Menteri Dalam Negeri, Abu Seman Yusop berkata, polis akan memanggil Mat Sabu dalam masa terdekat berhubung kenyataannya itu termasuk pihak berkaitan sebagai saksi.
Menurutnya, laporan polis yang membantah kenyataan Mat Sabu itu juga telah bertambah dengan pelbagai pihak mendesak agar tindakan undang-undang diambil terhadap Timbalan Presiden Pas tersebut.
‘‘Mat Sabu boleh dianggap sebagai buta sejarah kerana buat kenyataan itu dan beliau tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian,” katanya mengulas perkembangan siasatan pihak polis berhubung kenyataan Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.
Mat Sabu mendakwa, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar.
Menurut Abu Seman, kerajaan harus bertindak tegas berhubung perkara itu memandangkan ia menyentuh sensitiviti perasaan sesetengah pihak khususnya dalam kalangan keluarga anggota keselamatan yang terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong.
‘‘Kita bimbang jika perkara ini dibiarkan sahaja, ia akan mendatangkan impak negatif ke atas negara, seolah-olah Malaysia cuba menghidupkan semula ideologi komunis.
‘‘Namun, kita harus lakukan siasatan sepenuhnya berhubung kenyataan yang dibuat terutama untuk mengenal pasti apa matlamat kenyataan tersebut dan apa yang tersirat,” katanya.
Pergerakan Wanita UMNO Johor pula menganggap Mat Sabu dangkal fikiran sehingga menjadi insan yang buta sejarah.
Ketuanya, Senator Sharifah Azizah Syed Zain berkata, kenyataan berhubung peristiwa Bukit Kepong jelas menunjukkan Timbalan Presiden Pas itu menjadi keldai tunggangan sekutunya.
''Malah kerana ingin mengekalkan kedudukannya, beliau sanggup mengagungkan kumpulan yang tidak beragama seperti pengganas komunis,'' katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mat Sabu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak apabila menyifatkan mereka yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 sebagai hero sebenar dan bukannya anggota polis yang terkorban dalam peristiwa itu.
No comments:
Post a Comment