My Add

Monday 5 March 2012

15 atlet tempah tiket awal ke London, 20 lagi menyusul

PUTRAJAYA, ISNIN, 05 Mac, 2012: Seramai 15 atlet negara termasuk penembak Nur Suryani Mohamed Taibi, yang kini mengandung tiga bulan, telah menempah tiket secara merit ke Sukan Olimpik di London yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada 50 orang kerana ramai lagi atlet negara dijangka dapat melepasi sesi kelayakan Olimpik masing-masing.

"Di antara atlet yang dijangka melepasi kelayakan ke London ialah lapan pemain badminton dan lima pelumba berbasikal dalam acara lebuh raya dan trek.

"Kita juga berharap pasukan hoki lelaki yang terdiri daripada 16 pemain yang akan bersaing dalam kelayakan di Dublin, Ireland, minggu depan, turut mendapat tiket ke Olimpik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mereka yang mendapat tiket awal ke London ialah empat pemanah iaitu Cheng Chu Sian, Khairul Anuwar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Nurul Syafiqah Hashim dan lapan penerjun iaitu Bryan Nickson Lomas, Pandelela Rinong, Yeoh Ken Nee, Cheong Jun Hoong, Huang Qiang, Traisy Vivien Tukiet, Wendy Ng Yan Yee dan Leong Mun Yee.

Turut layak ialah Nur Suryani (menembak) serta dua kuota bagi acara berbasikal lebuh raya namun namanya belum ditentukan.

Ahmad Shabery berkata keseluruhannya, seramai 20 hingga 23 lagi atlet yang berada di bawah program `Road to London 2012’ (RTL), satu program yang bertujuan mencari emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik, dijangka dapat menempah tiket ke London. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment