My Add

Wednesday 14 March 2012

63 masjid baru dibina di Terengganu sejak BN ambil alih

DUNGUN, RABU, 14 Mac, 2012: Sebanyak 63 buah masjid baru telah dibina di Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM315 juta sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan negeri itu lapan tahun lepas.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Saleh berkata, secara keseluruhannya kini terdapat sebanyak 492 buah masjid di seluruh negeri ini termasuk yang telah dinaik taraf.

"Setiap sebuah masjid berkenaan dianggarkan bernilai antara RM4 juta hingga RM8 juta bergantung kepada kecil atau besar sesebuah masjid berkenaan.

"Malah tahun ini kerajaan negeri akan membina tiga buah lagi masjid baru iaitu Masjid Paya Pelandang di sini, dan dua lagi di Kuala Terengganu iaitu Masjid Darat di Batu Rakit dan Masjid Kampung Kebur Air di Manir," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena lawatan baginda ke Pejabat Agama Daerah Dungun di sini hari ini.

Mohd Rozali berkata, kerajaan negeri juga memberi perhatian serius terhadap perkembangan syiar Islam di Terengganu dengan menyediakan peruntukan yang besar bagi mewujudkan pejabat-pejabat agama yang baru di setiap daerah di seluruh negeri. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment