My Add

Thursday 8 March 2012

8 keluarga mangsa tanah runtuh dipindah ke PULAPOL: Ismail

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mac, 2012: Kesemua lapan keluarga penjawat awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di kuarters mereka di Jalan Belfield, Kampung Attap malam tadi dipindahkan ke kuarters Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, hari ini.

"Kesemua mereka dipindahkan ke kuarters Pulapol jam 2 petang ini. Kami ada menyediakan 16 lori dan 30 anggota untuk membantu mereka berpindah," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Kejadian tanah runtuh pada jam 9 malam tadi di kuarters kerajaan yang dihuni kakitangan awam PDRM itu mengakibatkan seorang remaja berusia 13 tahun, Raja Muhamad Irfan Raja Hazlan terkorban.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga Raja Hazlan dan harap mereka tabah menghadapi dugaan ini," kata Ismail kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan berbentuk makanan dan wang tunai kepada semua mangsa yang menghuni lapan rumah dua tingkat itu.

Raja Muhamad Irfan maut selepas ditimbus tanah runtuh di belakang rumahnya ketika hujan lebat malam tadi.

Remaja Tingkatan Satu itu dikeluarkan dari runtuhan tanah oleh anggota bomba dan penyelamat. Bagaimanapun dia meninggal dunia ketika tiba di Hospital Kuala Lumpur pada jam 11.50 malam tadi.

Bapa mangsa, Raja Hazlan Raja Hussin bekerja sebagai pembantu tadbir di Bukit Aman dan ibunya, Rohayu Che Yusoff adalah ketua kerani di Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Ismail berkata, kawasan perumahan yang sudah lama dibina itu pernah mengalami kejadian tanah runtuh sebelum ini, namun tidak teruk dan tidak mengakibatkan kehilangan jiwa.

"Saya minta pihak berkenaan menjalankan siasatan kerana ia bukan kuarters polis, ia hanya kuarters yang didiami mereka yang berkhidmat dengan PDRM," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata kesemua penghuni lapan rumah berkenaan tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di kuarters PULAPOL.

"Saya rasa kuarters di PULAPOL itu paling selamat, luas dan selesa serta berpagar. Ini memberi perlindungan kepada anak-anak mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment