My Add

Saturday 24 March 2012

Agong rasmi Pameran Bonsai, Orkid KL 2012

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Mac, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini berkenan merasmikan Pameran Bonsai dan Orkid Kuala Lumpur 2012 di Taman Botani Perdana.

Ketibaan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun, disambut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah selebriti antarabangsa seperti Owen Wilson, Adrien Brody, David Haye, Michel Salgado, dan Fernando Morientes.
Baginda berdua kemudiannya dibawa melihat pameran bonsai dan orkid, seterusnya menanam pokok buchida di Laman Perdana dan diakhiri dengan jamuan santapan diraja.

Pameran ini diadakan bermula Jumaat lalu sehingga 27 Mac ini sempena penganjuran Formula One di Sepang dan bakal dijadikan sebagai acara tahunan.

Pelbagai aktiviti juga bakal berlangsung seperti Garden Hunt, pertandingan grafiti, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan gubahan bunga untuk menarik minat pengunjung selain lebih 100 gerai bonsai dan orkid yang menyertai pameran.

Ahmad Fuad, dalam ucapannya, berkata pameran yang julung kali dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini adalah produk ekopelancongan yang dapat mempromosikan Taman Botani Perdana kepada pelancong tempatan dan luar negara.

"Ia bukan sahaja menjadi produk ekopelancongan di Kuala Lumpur malahan menjadi sebuah pusat pendidikan dan penyelidikan alam semulajadi kepada penduduk tempatan ataupun pelancong asing," katanya.

Beliau berkata, DBKL akan meneruskan usaha pembangunan dalam memastikan Taman Botani Perdana setaraf dengan Taman Botani yang ada di seluruh dunia.

Pameran itu adalah cetusan ilham Ahmad Fuad untuk mempromosikan produk ekopelancongan dan memperkenalkan Taman Botani Perdana manakala pemilihan bonsai dan orkid untuk meningkatkan prestij pameran ini sehingga ke arena antarabangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment