My Add

Sunday 25 March 2012

Beza fakta, auta

PORT DICKSON, AHAD, 25 Mac, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran tatkala pilihan raya umum semakin dekat, pembangkang akan mencari segala isu tanpa mengira ia mempunyai fakta ataupun tidak untuk mengurangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri berkata, rakyat mesti tahu membezakan antara fakta dan ‘auta’.

“Saya lihat banyak yang diutarakan pembangkang ini bukan fakta tapi ‘auta’... tidak boleh pakai,” katanya berucap pada majlis makan tengah hari dihadiri lebih 35,000 orang di Dataran Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini, semalam. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Terdahulu, pada majlis penyerahan rumah mampu milik berkualiti di Taman Intan Duyung dekat sini, Najib membayangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sudah semakin hampir berikutan keyakinan rakyat yang terus meningkat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dalam sehari dua ini, keyakinan rakyat semakin bertambah. Sudah rasa... dalam politik mesti ada rasa-rasa. Sudah rasa-rasa bunyi (PRU-13) sudah dekat,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, pembangkang juga tidak akan berhenti mencari isu, kebanyakannya yang tidak betul untuk mengelirukan rakyat.

“Tapi saya tahu, rakyat bijak membezakan antara fakta dan auta,” katanya. 
Pada majlis itu, Najib secara simbolik menyerahkan 70 unit rumah mampu milik berharga RM42,000 setiap unit yang lebih murah berbanding harga asal RM52,000.

Perdana Menteri berkata, antara tuduhan tanpa fakta ialah kononnya pelbagai bantuan disediakan kerajaan, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) adalah duit haram, dipinjam daripada Bank Dunia, rasuah politik dan sebagainya.

“Walaupun pembangkang terus ‘auta’ dengan pelbagai tuduhan, mereka juga menjadi orang pertama mendapatkannya dan sanggup menebalkan muka terima bantuan ini.

“Fakta sebenar bantuan ini dibuat kerana ekonomi negara semakin baik seperti diumumkan Bank Dunia dan kita mahu rakyat merasai hasilnya,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pengalaman meletakkan calon boleh menang ketika pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini, akan menjadi asas memastikan kejayaan BN dalam PRU-13.

Katanya, kedua-dua pilihan raya kecil itu boleh dianggap titik peralihan kepada kejayaan BN selepas PRU-12 pada 2008.

Perdana Menteri berkata, satu-satunya senjata pembangkang kini adalah berjanji kepada rakyat walaupun tahu bahawa janji itu mustahil dilaksanakan.

“Pembangkang kata jika berkuasa, bukan hanya berjanji akan menghapuskan tol lebuh raya, malah bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN), manakala harga minyak akan diturunkan.

"Bagaimanapun, pembangkang hanya bercakap mengenai cara untuk berbelanja, tetapi soal hasil langsung tidak disebut,” katanya.

Najib berkata, rakyat juga perlu melihat keadaan yang menyelubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila ramai orang yang sebelum ini bersamanya sudah meninggalkannya. - BERUTA MINGGU

No comments:

Post a Comment