My Add

Saturday 10 March 2012

Kaedah kreatif Johor bina sekolah agama dengan cepat dipuji

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 09 Mac, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuji kerajaan negeri Johor kerana berjaya mengadakan kaedah yang kreatif bagi membina sekolah-sekolah agama di negeri ini dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata, kaedah yang melibatkan kerjasama dengan pihak swasta dan mendapat pembiayaan institusi kewangan itu adalah amat tepat, di kala meningkatnya jumlah ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah agama.

"Ini jadi lebih bermakna jika kita lihat kaedah yang biasa mengambil masa yang agak lama (untuk membina sekolah agama), apatah lagi jumlah murid di negeri ini mencecah 220,000 orang,” katanya semasa merasmikan bangunan Sekolah Agama Taman Molek di Taman Molek di sini.

Sekolah itu yang dibina dengan kos lebih RM2 juta menerusi pinjaman daripada institusi kewangan Islam, Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad (KFHMB), mempunyai lapan bilik darjah dan mampu menampung kira-kira 700 murid akan memulakan sesi pembelajaran April ini.

Sekolah itu merupakan satu daripada 121 buah sekolah agama yang dijadual dibuka di seluruh Johor menjelang tahun 2013 melibatkan kos pembinaan berjumlah RM294 juta.

Sebanyak 96 buah sekolah dari fasa satu hingga fasa empat akan siap dibina dalam tahun ini, manakala bakinya untuk fasa lima dijadual siap menjelang Oktober tahun depan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment