My Add

Saturday 24 March 2012

Sambutan ulang tahun UMNO ke-66 pada 1 hingga 13 Mei

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Mac, 2012: UMNO akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-66 parti itu pada 1 hingga 13 Mei dengan acara kemuncak berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, pelbagai pengisian sambutan akan diadakan termasuk majlis bacaan tahlil dan surah Yasin, Anugerah Melayu Terbilang, Larian Melayu UMNO, Karnival Hari UMNO, pertandingan futsal, konvoi motosikal dan forum media.

"Majlis Tertinggi (MT) setuju dengan konsep sambutan hari ulang tahun UMNO ke-66 tahun ini yang jatuh pada tarikh lahir UMNO iaitu 11 Mei. Kita rangka sambutan yang menjangkau tempoh lebih lama dan pada 11 Mei ini, kita akan cuba mengisi stadium dengan kehadiran yang agak ramai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn di sini, malam tadi.

Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, jumlah terkini anggota parti itu sehingga 19 Mac lepas ialah 3,340,508 iaitu 1,095,112 daripadanya terdiri daripada anggota biasa, 1,247,056 (Wanita), 381,012 (Puteri) dan 617,328 (Pemuda). 

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat MT juga bersetuju melantik Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sabak Bernam, Datuk Warno Dogol sebagai pemangku Ketua Bahagian UMNO Sabak Bernam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment