My Add

Saturday 24 March 2012

'Jangan jual nama PM'

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Adha Ghazali

IPOH, SABTU, 24 Mac, 2012: Calon yang dikenal pasti untuk mewakili Barisan Nasional (BN) Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) boleh digugurkan daripada senarai pada bila-bila masa, jika penilaian berterusan mendapati mereka gagal mengekalkan reputasi baik di kalangan rakyat. 

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata dalam soal calon juga, tiada sesiapa perlu ‘menjual’ nama kononnya dirinya layak menjadi calon kerana mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau sendiri selaku Menteri Besar.

“Kita sudah ada senarai (calon), namun tidak mustahil sekiranya mereka yang dilihat berpotensi tetapi pada peringkat akhir, mereka dilihat tidak lagi berpotensi.

“PM sendiri sudah ingatkan bahawa pemilihan calon kali ini bukan disebabkan mereka ada hubungan rapat dengan beliau atau kawan lama dan sebagainya, tetapi lebih penting dari segi rakyat iaitu mereka disukai atau dianggap ada pertalian rapat dengan rakyat atau boleh menang serta setia kepada parti sebagai antara kriterianya. 

“Jadi, anda tidak dijamin (menjadi calon). Jangan ada siapa cuba ‘menjual’ latar belakang atau kononnya dia ada hubungan istimewa dengan PM, TPM atau dengan MB untuk menjadikannya alasan,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita di majlis pertemuannya dengan warga perkhidmatan awam yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta meraikan hari ulang tahun ke-50 kelahirannya yang jatuh kelmarin di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam. 

Beliau sebelum itu turut merasmikan Bengkel Mind-Mapping (Peta Minda) dan Program E- Pembelajaran Topikal Tuisyen Matematik Tambahan dan Fizik Tahun 2012 di Dewan Bandaran Ipoh.

Pada majlis berasingan di Arau, Zambry yakin peluang BN untuk terus bertapak di hati rakyat Perak cerah, lebih-lebih lagi dengan agenda pembangkang terutama DAP yang terbukti bersifat cauvinist. 

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak meletakkan BN pada kedudukan terlalu selesa, apatah lagi berpeluk tubuh, lebih-lebih lagi mengenangkan pengalaman parti yang pernah ‘terjunam’ seketika dalam PRU Ke-12 pada 2008 lalu. -BERUTA HARIAN

No comments:

Post a Comment