My Add

Tuesday 13 March 2012

Nama pengundi meragukan tak boleh digugur tanpa bukti

KOTA KINABALU, SELASA, 13 Mac, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan 13,000 pengundi yang meragukan di Sabah tetapi tidak boleh menggugurkan nama mereka dalam daftar pemilih kerana ia bertentangan dengan undang-undang kata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Beliau berkata, mengikut undang-undang, SPR tidak dibenarkan menggugurkan nama pemilih berkenaan melainkan dengan bukti yang kukuh.

Katanya, setakat ini tiada mana-mana pihak termasuk waris yang tampil membantu membuat pengesahan mengenai status rekod pemilih terbabit.

“Walaupun kita sudah pamerkan (senarai nama pemilih meragukan itu) dan menghantar CD kepada parti-parti politik, namun kita masih gagal mengesan mereka. Kebanyakan mereka ini adalah golongan warga tua.

"Dalam hal ini, kita bergantung kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan semakan Daftar Pemilih oleh Mimos Berhad seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya untuk tujuan pembersihan daftar pemilih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan majlis taklimat kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, bahawa SPR akan menggugurkan sebanyak 42,025 nama (termasuk 13,000 di Sabah) yang tersenarai sebagai pemilih berdaftar setelah rekod mereka didapati meragukan.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment