My Add

Sunday 18 March 2012

Pas parti tidak konsisten - Shafie Apdal

ALOR SETAR, AHAD, 18 Mac, 2012: Pas adalah parti yang tidak konsisten dalam perjuangan menegakkan Islam dan terbaru, ia melencong daripada prinsipnya apabila menyokong umat Islam boleh bekerjasama dan menjalin hubungan dengan Yahudi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pendirian Pas mengenai perkara itu yang dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua malam lepas membuktikan Pas parti tidak berprinsip.

"Pas begitu keras mengkritik UMNO apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan Israel tetapi kini jelas kenyataan Abdul Hadi membuktikan parti itu tidak selari dengan perjuangan Islam mereka.

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah kata, tidak boleh berdagang atau bekerjasama dengan Yahudi tetapi kini Abdul Hadi pula kata sebaliknya," kata Mohd Shafie pada sidang akhbar sempena program Mesra Rakyat Bersama Menteri di Pekan Ayer Hitam, Jerlun di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, perjuangan parti itu dalam soal kemanusiaan seperti isu Palestin dan pelaksanaan hukum hudud juga tidak jelas.

"Pas sebenarnya bukan hendak memperjuangkan Islam tetapi mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat politik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment