My Add

Thursday 15 March 2012

Pinda penyataan tuntutan saman: Rayuan Khairy ditolak

PUTRAJAYA, RABU, 14 Mac, 2012: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meminda penyataan tuntutan dalam saman fitnahnya terhadap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Panel tiga hakim dianggotai Hakim Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan Khairy untuk mengetepikan keputusan Penolong Kanan Pendaftar yang membenarkan Anwar meminda penyataan tuntutannya.

Hakim Zaleha yang mempengerusikan panel berkata, mahkamah tidak dapat menerima hujah peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy bahawa pindaan itu akan mengakibatkan perubahan kausa tindakan daripada fitnah bertulis kepada fitnah lisan.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan Khairy diberi kebebasan memfailkan penyataan pembelaan yang dipinda dalam tempoh 21 hari mulai hari ini, selain membenarkan Anwar menjawabnya dalam masa dua minggu dari tarikh ia diserahkan.

Anwar memfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Sept 2007 dan mendakwa defendan, yang ketika itu timbalan Ketua Pemuda Umno, memfitnah beliau pada satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak pada Ogos 2007.

Ketua pembangkang itu mendakwa fitnah yang dilafazkan Khairy disiarkan media cetak dan elektronik di negara ini pada 3 Ogos 2007. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment