My Add

Wednesday 14 March 2012

Rakyat Malaysia ke Rusia tak perlu visa

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Mac, 2012: Rusia bakal memperkenalkan perjalanan tanpa visa kepada rakyat Malaysia ke negara itu sebagai timbal balas kepada kemudahan serupa diberikan kepada pelawat Rusia ke Malaysia, kata Duta Besar Rusia ke Malaysia, Lyudmilla G. Vorobyeva.

Beliau berkata, perjanjian perjalanan tanpa visa itu sedang diperincikan dan berharap perjanjian itu dapat ditandatangani tahun ini.

"Bagi rakyat Rusia, kami tidak perlukan visa untuk datang ke Malaysia selama 30 hari. Dalam sistem kami pula, kami tidak boleh berikan kemudahan yang serupa kepada rakan kami (Malaysia) begitu sahaja. Kami perlu mempunyai perjanjian perjalanan tanpa visa dan kami sedang merumuskan perjanjian ini supaya rakyat Malaysia boleh pergi ke Rusia tanpa visa selama 30 hari," katanya di sini hari ini.

Beliau berharap perjalanan tanpa visa itu akan dapat meningkatkan lagi hubungan pelancongan dan ekonomi di antara kedua-dua negara.

"Pada pandangan saya, penduduk di sini amat berminat untuk pergi ke Rusia. Semua orang tahu mengenai St Petersburg di Moscow dan ramai orang melawat destinasi pelancongan utama ini," katanya.

Mengenai pendidikan pula, Vorobyeva berharap lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di Rusia berikutan kualiti pendidikan di negara itu amat baik manakala kosnya agak berpatutan berbanding dengan negara Barat lain.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 3,000 pelajar Malaysia di Rusia mengambil jurusan seperti perubatan, manakala terdapat hanya kira-kira 150 pelajar Rusia di Malaysia yang kebanyakannya melanjutkan pelajaran dalam jurusan Pengajian Islam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment