My Add

Sunday 25 March 2012

Segera umum anggota suruhanjaya kaji perkhidmatan awam

KOTA BHARU, AHAD, 25 Mac, 2012: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengumumkan individu yang akan menganggotai suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara ini selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kongres itu mendapat banyak pertanyaan daripada anggota gabungannya yang mahu mengetahui individu yang akan dilantik menganggotai suruhanjaya itu.

"Kita mahu tahu siapa pengerusi suruhanjaya dan siapa lagi di pihak kerajaan yang berada dalam suruhanjaya itu kerana sehingga kini kita tidak mendapat sebarang maklumat.

"Sebab itu kita berharap kerajaan dapat mengumumkan nama-nama anggota suruhanjaya ini selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas seminar Pengurusan Kewangan Penjawat Awam serta Taklimat Penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia di sini, hari ini.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas.

Mengulas perkara itu Omar berkata, CUEPACS juga telah bersetuju untuk meletakkan sembilan pegawainya menganggotai suruhanjaya berkenaan yang mampu memberikan cadangan dan pendapat bagi penambahbaikan penjawat awam itu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment