My Add

Wednesday 21 March 2012

Lanjutkan perjanjian hutan simpan Ayer Hitam: Sultan Selangor

PUCHONG RABU, 21 Mac, 2012: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap perjanjian persefahaman mengenai Hutan Simpan Ayer Hitam antara Kerajaan Selangor dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dilanjutkan kepada 999 tahun.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah langkah itu bagi memastikan fungsinya sebagai kawasan hijau, pusat pemuliharaan sumber genetik dan pusat penyelidikan

Fakulti Perhutanan UPM dapat diteruskan selamanya. "Berdasarkan kepada kekayaan dan kepelbagaian biologi di situ, beta berkenan hutan simpan itu dipelihara dan dilindungi dari sebarang gangguan penggunaan yang merosakkan," titah baginda semasa merasmikan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) di sini hari ini.

Menerusi perjanjian persefahaman yang ditandantangani pada 7 Oktober 1996, UPM diberi kebenaran mengurus dan membangunkan hutan simpan seluas 1,176.1 hektar sebagai hutan pendidikan penyelidikan dan pengembangan perhutanan untuk tempoh 80 tahun.

Hutan itu kemudian dijadikan SISFEC yang siap sepenuhnya pada September 2011 dengan kemudahan seperti bangunan akademik, makmal, penginapan serta kemudahan rekreasi luar seperti tapak perkhemahan, sirkit rempuh halangan, padang paintball dan dinding memanjat.

Sultan Sharafuddin juga mahu peranan UPM sebagai peneraju pendidikan dan penyelidikan dalam pertanian diberikan sokongan dan dokongan oleh kerajaan Selangor dan Persekutuan.

Selain itu baginda turut berhasrat untuk melihat UPM menjadi sebuah universiti yang terunggul dalam bidang pengurusan hutan tropika.

"Beta maklum terdapat pihak yang mempertikai peranan UPM dalam bidang pertanian dan berhasrat untuk mewujudkan universiti atau institusi pendidikan tinggi dalam bidang pertanian," titah baginda.

Sultan Sharaffudin berharap kerajaan tidak tergesa-gesa membuat keputusan berhubung perkara itu sebaliknya kepakaran yang dimiliki UPM harus dimanfaatkan bersama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment