My Add

Saturday 24 March 2012

SYABAS sambut baik keputusan benar operasi Loji Sg Labu

KUALA LUMPUR, SABRU, 24 Mac, 2012: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat membenarkan kerajaan negeri Selangor menjalankan operasi Loji Rawatan Air Sungai Labu yang siap baru-baru ini. 

Pengerusi Eksekutif SYABAS, Tan Sri Rozali Ismail, berkata dengan beroperasinya loji itu, sistem agihan bekalan air sedia ada di beberapa kawasan bekalan loji rawatan air Sungai Semenyih akan mendapat tambahan air 105 juta liter sehari.

"Peringkat pertama loji Sungai Labu sudah mula beroperasi pada 20 Mac lalu dengan kapasiti bekalan berjumlah 45 juta liter sehari dan kawasan yang sudah menerima bekalan air ini termasuklah kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Litar F1 dan lain-lain kawasan di Sepang sehingga Sungai Pelek, Bagan Lalang, Tanjung Sepat dan Kundang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan bermulanya operasi Loji Rawatan Air Sungai Labu pada peringkat pertama, jumlah kapasiti bekalan air untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan meningkat kepada 4,371 juta liter sehari berbanding semasa iaitu 4,326 juta liter sehari. 

Katanya, tambahan bekalan air ini dijangka secara langsung akan meningkatkan sejumlah kecil kapasiti rezab (berdasarkan purata permintaan) sebanyak 1 peratus, iaitu 106.8 juta liter air sehari kepada 151.8 juta liter air sehari. 

"Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan pusat komited dalam menyelesaikan isu pembekalan air yang dihadapi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Usaha-usaha yang dilaksanakan juga menunjukkan bahawa kepentingan pengguna adalah diutamakan," katanya. 

Rozali berkata, SYABAS berharap Kerajaan Pusat dan kerajaan Selangor akan meneruskan usaha sepakat mereka terutamanya dalam aspek penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana isu itu sudah lama tertangguh.

"Apa yang penting di sini adalah untuk memastikan pengguna menerima bekalan air tanpa sebarang gangguan berdasarkan permintaan dan kualiti bekalan yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment