My Add

Saturday 10 March 2012

Syarikat swasta disaran wujud taska

JOHOR BAHARU, SABTU, 10 Mac, 2012: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan syarikat swasta di negara ini mewujudkan kemudahan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di premis mereka.

Beliau berkata, dengan berbuat demikian, syarikat boleh membantu pekerja mereka menyelesaikan masalah kesukaran mendapatkan khidmat pembantu rumah bagi menjaga anak-anak yang masih kecil.

"Ibu-ibu yang bekerja boleh menghantar anak-anak mereka ke taska tersebut tanpa merasa risau kerana anak dekat bersama mereka atau di dalam bangunan yang sama dan kalau anak itu sakit ibu boleh turun ke bawah masa makan tengah hari (untuk menjenguk anak itu),” katanya.

Rosmah yang juga penaung program Permata Negara berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Permata 2012 peringkat negeri Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, itu merupakan satu pendekatan yang amat baik yang boleh diambil oleh pihak swasta agar kanak-kanak tidak merasa kehilangan kasih sayang ibu bapa dan ini boleh membantu menyelesaikan masalah sosial di negara ini.

Rosmah berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang mahu menggunakan silibus pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak Permata di taska-taska yang bakal mereka wujudkan itu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment