My Add

Friday 16 March 2012

UMNO diminta ketengah ramai calon muda di Kedah

ALOR SETAR, JUMAAT, 16 Mac, 2012: Pemuda UMNO berharap lebih ramai calon muda dan muka baru diketengahkan oleh parti itu di Kedah pada pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Naib Ketua Pemuda UMNO Kedah, Haris Che Mat, berkata calon muda dan muka baru bersih daripada sebarang kontroversi serta tidak ada banyak masalah terutamanya dengan masyarakat setempat.

Katanya, calon muda menepati ciri-ciri "winnable candidate" yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta boleh mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menafikan bahawa memang ramai pemimpin lama yang berkaliber dan boleh dicalonkan semula.

"Cuma jika diletakkan calon muda di sesuatu kawasan ia akan memberi harapan baru kepada pengundi, sekali gus memberi impak positif kepada pengundi dan parti sendiri," katanya.

Haris berkata, seperti di kawasan Parlimen Pokok Sena, penyokong Barisan Nasional dan pembangkang hampir sama banyak tetapi terdapat 30 peratus pengundi atas pagar yang sentiasa memantau dan menilai kemampuan calon dan parti untuk berkhidmat.

Beliau berkata, golongan atas pagar inilah yang menjadi tumpuan Pemuda UMNO. 

Katanya, tinjauan oleh Pemuda UMNO mendapati rata-rata golongan muda berpuas hati dengan peranan dan komitmen UMNO dan BN terhadap usaha membela nasib rakyat.

"Ini satu petanda baik kepada parti," kata Haris.

Beliau berkata, skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu contoh mengenai tanggungjawab kerajaan BN dalam menjaga kepentingan rakyat semua kaum. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment