My Add

Sunday 18 March 2012

Usah persiakan usaha bangunkan negara - Muhyiddin

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kanan) menyentuh bebola kaca, simbolik pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Negeri pada majlis makan malam bersama rakyat Parlimen Masjid Tanah, dalam lawatan sehari ke Melaka, semalam. - Foto BERNAMA

ALOR GAJAH, SABTU, 17 Mac, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat agar tidak mempersiakan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga menjadikan Malaysia diiktiraf termaju bagi sebuah negara membangun.

Beliau berkata, pencapaian negara itu perlu diteruskan dengan pelbagai usaha yang dirancang kerajaan demi mengekalkan keamanan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Usaha yang telah kita buat selepas titik peluh ibu bapa kita, pemimpin terdahulu yang telah berjuang memerdekakan negara hingga hari ini kita menjadi sebagaimana yang kita saksikan... sebab itu, usaha yang telah kita bangunkan ini jangan kita persiakan,” katanya ketika berucap pada makan malam rakyat Parlimen Masjid Tanah malam ini..

Lebih 15,000 orang menghadiri majlis itu walaupun dalam keadaan hujan renyai. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Abu Seman Yusof.

Muhyiddin berkata, rakyat harus memberi penilaian yang baik terhadap usaha yang dilakukan kerajaan.

"Kita tidak boleh menafikan hakikat dalam tempoh sejak merdeka sampai ke hari ini kerana pimpinan BN yang telahpun mengatur dan mengorak langkah menyusun dan merancang dengan begitu baik,” katanya.

Jelas beliau, rakyat juga harus menilai perjuangan parti pembangkang yang membawa ideologi bertentangan dengan agama, adat resam dan norma kehidupan negara ini.

Katanya, jika rakyat tidak mempertahankan nilai murni, negara akan berdepan masalah besar pada masa akan datang. Pembangkang, katanya, tidak mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju dan hanya berhasrat menumbangkan kerajaan sedia ada.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan Gelombang Biru Melaka dan jentera pilihan raya BN Parlimen Masjid Tanah. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment