My Add

Saturday 23 June 2012

Azmin: 'Saya sokong Khalid'

*AZMIN melepaskan kenderaan ketika melancarkan Sismep 3.0 dan Pengagihan Bahan Kempen PRU13 di Pusat Dagangan Kelantan, semalam.


NURRUL HUDA AHMAD LUTFI
KOTA BHARU, SABTU, 23 Jun, 2012:Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti mana dibangkitkan sesetengah pihak.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, beliau sentiasa menyokong kepimpinan Abdul Khalid yang dilihat menunjukkan prestasi baik.

“Ada yang kata timbul konflik, itu satu fitnah jahat.

Sebenarnya tidak timbul sebarang pergeseran pun, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

“Saya juga tidak tahu wujudnya Kelab Azmin Ali.

Yang saya tahu ada parti PKR sahaja. Di sini yang saya tahu, saya akan terus menjalankan kerja-kerja saya,” katanya kepada media selepas melancarkan Sismep 3.0 dan Pengagihan Bahan Kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), di Pusat Dagangan Kelantan, semalam.

Azmin menyifatkan isu itu sengaja dimainkan Umno dan menganggap parti tersebut terdesak kerana cuba melagakannya dengan Abdul Khalid menerusi akhbar sejak empat tahun lalu.

“Umno cuba dan mereka gagal sehingga kini dan saya ucapkan good luck kepada mereka (Umno). Saya akan terus menumpukan usaha saya bersama Tan Sri Abdul Khalid bagi memantapkan jentera parti dan juga kerajaan menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan Rafizi meletakkan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Azmin berkata, ia adalah perkara biasa.

Azmin berkata, isu itu tidak perlu dimanipulasikan kerana Rafizi berbuat demikian untuk memberi fokus kepada perjuangan parti menjelang PRU13.

“Beliau mempunyai tanggungjawab yang cukup besar menjelang pilihan raya akan datang kerana PKR dan Pakatan Rakyat (PR) membawa satu pendekatan baru iaitu kita nak bawa culture of hope, kita nak bawa harapan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Rafizi tidak perlu dibebankan dengan kerja di peringkat negeri kerana peranan Rafizi yang penting adalah melonjakkan sokongan rakyat terhadap PKR pada PRU13.

“Beliau bertanggungjawab untuk menyediakan manifesto, risalah, jadi kita merasakan beliau tidak harus dibebankan dengan tanggungjawab di peringkat negeri,” katanya.

Azmin menyifatkan Rafizi sebagai ikon kepada anak muda kerana mempunyai potensi untuk memimpin parti dan kerajaan akan datang serta menjadi aset kepada PKR.

“Beliau menjadi aset kepada kita dan kita tidak mahu korbankan potensi beliau dengan melibatkannya kepada perkara yang tidak diperlukan sekarang,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment