My Add

Tuesday 19 June 2012

Cubaan samun: 3 perompak ditembak mati

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Tiga perompak warga asing ditembak mati sepasukan polis dalam kejadian berbalas tembakan di Batu 20, Jalan Selayang, Rawang, awal pagi ini.

Sebelum itu, kumpulan perompak berkenaan gagal menyamun sebuah rumah apabila isteri tuan rumah menyedari kehadiran mereka dan menelefon polis.

"Ketiga-tiga perompak berusia awal 30-an itu memecah masuk sebuah rumah di Saujana Templer kira-kira pukul 5 pagi, namun tidak dapat membawa lari sebarang barang berharga,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC, Mohd. Adnan Abdullah.

"Di dalam rumah terbabit enam penghuni termasuk seorang kontraktor, sedang tidur bersama lima lagi ahli keluarganya.

"Namun isterinya tersedar dan ternampak dua kelibat manusia yang mencurigakan di dalam rumah lalu terus menghubungi polis. Melihatkan itu dua lelaki berkenaan terus lari keluar rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mohd. Adnan berkata, polis datang segera ke tempat kejadian serta membuat rondaan dan ternampak sebuah kereta Proton Wira di sebuah lorong gelap kira-kira 300 meter dari rumah yang cuba disamun itu.

"Namun ketika cuba ditahan, dua daripadanya bertindak melepaskan tembakan ke arah polis dan hasil tindakan pantas polis, tiga suspek mati ditembak,” katanya.

Hasil pemeriksaan polis di dalam kereta itu menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan semi auto, beberapa bilah parang, sarung muka dan alatan pecah rumah, kata Mohd. Adnan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment