My Add

Thursday 21 June 2012

Dr Ali sedia dengar keluhan penjawat awam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Bakal Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata beliau bersedia mendengar keluhan dan masalah yang dihadapi oleh penjawat awam serta akan cuba membantu menyelesaikannya.

Beliau berkata langkah itu merupakan antara inisiatif yang akan diambil ketika turun padang dan pertemuan yang diadakan dengan pelbagai pihak daripada semua peringkat kelak.

"Saya akan berhubung dengan semua peringkat, daripada peringkat paling rendah hingga ke peringkat paling tinggi dan ia akan menjadi proses berterusan selain berhubung dengan Cuepacs, wakil pekerja dan lain-lain.

"Objektif kita ialah bagi meningkatkan mekanisme penyampaian dari semasa ke semasa dan memastikan rakyat mendapat manfaat daripada program dan dasar kerajaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat cara pelantikan dan nota serah tugas Ketua Setiausaha Negara yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen.

Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Dr Ali yang merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru berkuat kuasa, Ahad ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada Sabtu.

Dr Ali berkata pertemuan dengan pihak media, industri dan badan bukan kerajaan akan turut diadakan bagi memastikan pandangan daripada pihak yang berkepentingan diperoleh bagi membantu pihaknya merancang dan melaksanakan usaha-usaha awal ke arah transformasi perkhidmatan awam.

"Saya juga akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam dalam memastikan transformasi kepimpinan perkhidmatan awam yang berupaya menyeimbangkan kepentingan politik dan pentadbiran, memperkasa modal insan terutamanya kumpulan kakitangan sokongan dan profesional serta mengutamakan kebajikan penjawat awam," katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam menggalas tanggungjawab barunya, Dr Ali menyifatkan usaha untuk meningkatkan pencapaian pelaksanaan semua dasar dan program kerajaan sebagai suatu cabaran.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan terus berusaha untuk meningkatkan pelaksanaan dasar kerajaan dan penjawat awam sebagai golongan pelaksana mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk merealisasikan dasar-dasar kerajaan.

Dr Ali turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan dan keyakinan kepadanya menerajui perkhidmatan awam negara.

"Adalah menjadi harapan saya agar seluruh perkhidmatan awam dapat bersama-sama meneruskan usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

"Langkah ini selaras dengan kepimpinan Perdana Menteri dalam menerajui transformasi negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Sidek yang telah melaksanakan tugas seorang Ketua Setiausaha Negara dengan baik sepanjang memegang jawatan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment