My Add

Sunday 24 June 2012

Empat penari wanita Islam dicekup JAWI

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Jun, 2012: Hanya kerana bayaran RM100, empat wanita Islam sanggup memakai pakaian tidak sopan sambil mempersembahkan tarian kepada pengunjung sebuah pusat hiburan di sini ketika kelab itu diserbu oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) malam tadi.

Seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Baby, 27, berkata beliau hanya datang ke pusat hiburan sekiranya mendapat undangan dan menari hanya untuk suka-suka disamping menambah wang saku kerana kebetulan, beliau mengambil jurusan tarian ketika belajar di sebuah institusi pengajian swasta satu ketika dulu.

Katanya, ada ejen yang ditugaskan untuk mencari penari dan membayar mereka mengikut ketetapan yang ditentukan.

"Kalau ada undangan, baru saya datang menari kerana bayaran juga mahal untuk 10 ke 15 minit. Saya tidak tertumpu pada pusat hiburan ini saja namun kalau ada undangan di tempat lain dengan bayaran lumayan juga, saya akan sertai," katanya kepada pemberita setelah diambil keterangan oleh pegawai penguatkuasa Jawi ketika serbuan itu.

Seorang lagi wanita yang enggan dikenali berkata beliau menari atas desakan hidup untuk mencari wang saku disamping menghiburkan pengunjung biarpun beliau menyedari tindakannya itu salah di sisi agama Islam.

"Saya hanya menari untuk mencari wang saku dan bukan untuk disentuh oleh pengunjung dan jauh sekali untuk menggadai maruah diri," katanya sambil menambah bahawa beliau menari sejak setahun lalu.

Dalam operasi itu yang bermula pada 10.30 malam dan berakhir 2 pagi itu, 40 anggota penguatkuasa Jawi dengan kerjasama polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan dan dua lagi di Jalan Dooraisamy. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment