My Add

Thursday 21 June 2012

Indera Mahkota tetap dibangunkan

 *TEMPAT operasi memproses sisa nadir bumi di dalam kawasan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan yang kini siap sepenuhnya. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

Oleh ZAMZURINA AHMAD
KUANTAN, RABU, 20 Jun, 2012: Meskipun tewas di Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum lalu, namun sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghukum pengundi di kawasan Parlimen ini.

Sebaliknya, segala agenda pembangunan yang dirancang sama ada dilaksanakan kerajaan atau swasta di Indera Mahkota yang merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah dan Semambu tetap diteruskan demi manfaat rakyat.

Namun, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili Parlimen Indera Mahkota bukan sahaja sering menafikan usaha dibawa kerajaan BN, malah ada ketikanya seolah-olah terdorong menyekat kerancakan itu menerusi tohmahan tidak berasas.

Antaranya seperti yang berlaku pada kilang memproses nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), Gebeng di sini.

Menurut seorang penduduk tempatan, Mohd. Noor Rahman, 55, limpahan pembangunan di sini adalah hasil usaha dan perancangan kerajaan BN sebelum ini termasuk peranan dimainkan sektor swasta.

"Pelabur swasta yakin untuk membangunkan Indera Mahkota yang bakal menjadi pusat pentadbiran negeri dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

"Keyakinan itu bertambah apabila kerajaan BN membina institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini iaitu cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali gus berlaku kenaikan pada nilai hartanah kerana umum sedia maklum sesebuah universiti adalah nadi pembangunan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Noor yang merupakan eksekutif di sebuah syarikat swasta berkata, pembangkang seharusnya membuka mata dan menyedari setiap usaha yang dilakukan kerajaan adalah demi kemajuan dan kemudahan generasi akan datang.

"Sebaliknya, segala yang kerajaan rancang semuanya ditolak tanpa sebarang kajian menyeluruh. Saya masih ingat beberapa tahun dulu, pembangkang menentang habis-habisan pembinaan menara telekomunikasi di Bukit Setongkol di sini, dengan alasan radiasi, sedangkan pembinaan itu bagi meluaskan rangkaian internet," katanya.

Bagi Nur Amirah Zulkipli, 25, pembinaan beberapa kompleks kerajaan dan perumahan seperti KotaSAS pastinya akan memberi limpahan rahmat kepada penduduk sekitarnya.

"Sekarang kita boleh rasai faedah dan manfaat bakal diperoleh dengan pembinaan Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kompleks Mahkamah, pejabat kerajaan dan hospital swasta.

"Semua ini memudahkan penduduk dan dalam masa sama mengurangkan kesesakan di bandar Kuantan kerana segala urusan boleh dilakukan di sini," katanya.

Sementara itu, seorang perunding pembinaan, Fazeedah Abdul Manaf, 37, berkata, dia bersyukur kerana kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan Indera Mahkota dan sekitarnya dengan menyediakan pelbagai prasarana walaupun BN kalah di Parlimen itu.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Hazmi Yusof berkata, biarpun Parlimen Indera Mahkota diwakili PKR, namun kerajaan BN tetap menjalankan tanggungjawab memastikan rakyat menikmati faedah daripada pembangunan yang dilaksanakan.

Namun, beliau percaya lebih banyak projek pembangunan dapat dinikmati penduduk di Parlimen Indera Mahkota sekiranya BN yang menjadi wakil mereka di Dewan Rakyat.

"Ada beberapa faktor yang menyebabkan kita tewas pada 2008 termasuk soal calon. Kali ini saya percaya jika kita tampilkan 'calon boleh menang' seperti ditekankan Perdana Menteri, peluang BN untuk merampas kembali Parlimen ini cukup cerah.

"Bagi pemimpin BN di Indera Mahkota, kami tidak lupakan tanggungjawab biarpun kita kalah. Selesai sahaja pilihan raya lalu, kita tetap menjalankan peranan demi membela kesejahteraan rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment