My Add

Tuesday 26 June 2012

Kastam pungut hasil RM15 bilion

PUTRAJAYA, SELASA, 26 Jun, 2012: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yakin sasaran kutipan hasil RM33 bilion tahun ini akan dapat dicapai berdasarkan jumlah kutipan sehingga semalam yang mencecah RM15 bilion. 

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Khazali Ahmad, berkata jumlah itu adalah peningkatan RM716 juta berbanding RM14.38 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

"Bahagian penguatkuasaan JKDM juga menunjukkan prestasi semasa yang cemerlang dengan nilai rampasan sebanyak RM270 juta, membabitkan duti sebanyak RM196 juta," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Nilai rampasan bagi tempoh yang sama tahun lalu adalah RM262 juta. 

Daripada segi kes tatatertib, Khazali berkata sebanyak 25 kes direkodkan untuk tahun ini sehingga Mei lalu, dan daripada jumlah itu hanya 19 kes disabitkan bersalah. 

"Tahun lalu terdapat 92 kes tatatertib yang mana 72 disabitkan bersalah," katanya. 

Khazali yang memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah Kastam Jumaat lalu menggantikan Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf, berkata beliau menetapkan empat perkara yang perlu dipraktik warga kerja JKDM untuk muncul sebagai perkhidmatan bertaraf dunia menjelang 2015. 

Katanya, empat perkara itu ialah ketangkasan bertugas, kecekapan dalam melakukan tugas, keharmonian di kalangan pekerja dan integriti. 

"Pegawai-pegawai atasan juga perlu membabitkan diri dengan semua warga jabatan untuk memastikan mereka memahami apa yang dihasratkan pucuk pimpinan di jabatan ini, untuk membawa ia ke arah kecemerlangan yang diinginkan. 

"Yang penting bagi kita sebagai agensi pemungut cukai kita mesti terus memastikan hasil kerajaan dipungut dengan baik, betul dan tepat demi memastikan segala projek pembangunan negara yang dirancang sebahagiannya akan dapat ditampung dan dibiayai oleh wang kutipan kastam," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment