KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Jun, 2012: Proses menyediakan terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah mengambil masa kerana perlu mengambil kira rakyat negeri itu yang tidak mempunyai pengenalan diri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata atas sebab yang sama, kerajaan juga memerlukan lebih masa menamakan panel yang menganggotai suruhanjaya berkenaan.
"Mengambil kira masalah yang ditimbulkan itulah kita ambil masa untuk pastikan terma rujukan dan juga untuk perhalusi mereka yang layak untuk jadi panel," katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta terma rujukan suruhanjaya itu benar-benar diperhalusi agar tidak menganiaya rakyat Malaysia di Sabah yang tidak mempunyai identiti pengenalan diri seperti Mykad dan sijil kelahiran.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) mengenai status terkini cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan itu, Mohamed Nazri berkata proses penyediaan terma rujukan kini berada di peringkat akhir.
"Bagi memastikan tujuan suruhanjaya ini ditubuh dicapai sepenuhnya kerajaan perlu pastikan terma rujukan adalah menyeluruh supaya masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah dapat diselesaikan secara komprehensif.
"Anggota juga dipilih dalam kalangan mereka yang berpengalaman luas dan mempunyai kefahaman yang mendalam berhubung pendatang asing di Sabah untuk pastikan syor yang dikemukakan boleh dilaksanakan dengan berkesan," katanya.
Menjawab soalan tambahan Anwar sama ada kerajaan bercadang menggunakan suruhanjaya yang sama bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di negeri-negeri lain di Semenanjung termasuk kemungkinan berlaku penipuan dalam senarai daftar pemilih pilihan raya, Mohamed Nazri berkata suruhanjaya itu hanya untuk menangani masalah di Sabah. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment