My Add

Wednesday 13 June 2012

Lynas: Kerajaan belum buat keputusan muktamad, kata PM

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Jun, 2012: Kerajaan masih belum buat keputusan muktamad mengenai projek kilang memproses nadir bumi Lynas Advance Materials Plant sehingga kerajaan benar-benar berpuas hati yang projek itu selamat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini bagi memastikan rakyat tidak berasakan yang perkara tidak diingini bakal menimpa mereka, termasuk untuk jangka masa panjang.

"Kami perlu menjalankan proses untuk menyakinkan rakyat bahawa kilang itu akan selamat," katanya pada sesi sembang dengan orang ramai menerusi Sesi Sembang NSTLive di laman web NST di sini hari ini.

Najib ditanya sama ada kerajaan telah membuat keputusan mengenai isu Lynas selepas kerajaan mengumumkan tiga minggu lepas yang ia akan dibuat dalam masa dua minggu.

Bulan lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata keputusan mengenai rayuan oleh tiga individu terhadap lesen sementara (TOL) Lynas Advanced Materials Plant akan dibuat dalam tempoh dua minggu.

Ongkili berkata beliau telah meneliti 14 hujahan yang dikemukakan sebagai asas rayuan mereka, tetapi memerlukan lebih masa untuk merundingi pakar dan pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat keputusan.

Najib turut tidak terkecuali disoal mengenai tarikh pilihan raya umum dan semasa menjawabnya Perdana Menteri berkata beliau sedang mengkaji semua kemungkinan sebelum membuat keputusan.

Katanya kerajaan akan meneruskan usaha mendekati pengundi di kawasan bandar termasuk pengundi Cina.

"Mereka perlu faham bahawa masa depan mereka adalah lebih baik dengan Barisan Nasional kerana kami memastikan keamanan, kestabilan, harmoni dan masyarakat yang lebih makmur.

"Perbezaan besarnya ialah darjah kepastian berhubung dengan keupayaan kami untuk penyampaian adalah lebih baik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment