My Add

Saturday, 23 June 2012

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang nafi dakwaan CUEPACS

Nor Diana
 GOKINA MORGANAN
GEORGETOWN, SABTU, 23 Jun, 2012: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman tidak pernah menulis surat untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, demikian menurut Pembantu Khasnya, hari ini.

Sehubungan itu tegas Nor Diana Mohd Zabidi, tidak ada seorang pun pegawai Pejabat Ketua Menteri ada menerima permohonan daripada Omar untuk berjumpa dengan Guan Eng.

“Selama ini, Ketua Menteri adalah rakan seperjuangan kepada kesatuan sekerja dan sudah berjumpa dengan kesatuan sekerja seperti MTUC dan NUBE.

“Malah Kerajaan Negeri melantik bekas Presiden MTUC, Syed Syahir Syed Mohamud sebagai senator baru- aru ini. Oleh itu, jelas tidak ada masalah untuk Cuepacs atau Omar untuk berjumpa dengan Ketua Menteri," katanya.

Nor Diana berkata dakwaan Presiden Cuepacs bahawa pegawai daripada pejabat Ketua Menteri enggan mengaturkan perjumpaan atas dakwaan Ketua Menteri sibuk adalah tidak berasas.

“Pejabat Ketua Menteri kecewa dakwaan Omar bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Guan Eng bersikap dingin dengan tidak mahu berjumpa dengannya untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan penjawat awam," katanya.

Justeru itu, beliau meminta Omar mendedahkan nama pegawai dari pejabat Ketua Menteri yang kononnya enggan mengaturkan perjumpaan dengan Guan Eng.

Semalam, Omar meluahkan rasa kesal dengan sikap kerajaan Pulau Pinang yang seolah-olah keberatan untuk menjalin hubungan dengan badan itu.

Omar berkata, sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, kerajaan pimpinan DAP itu tidak pernah melibatkan Cuepacs dalam soal menjaga kepentingan penjawat awam di Pulau Pinang.

Berikutan itu, wakil Cuepacs negeri sudah cuba menghubungi pembantu Ketua Menteri untuk mengatur pertemuan.

Namun usaha itu didakwa gagal kerana tiada langkah susulan dibuat daripada Kerajaan Negeri termasuk alasan Ketua Menteri sibuk.

“Cuepacs negeri lain semua mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Negeri termasuk di Selangor, Kelantan dan Kedah. Ada juga Kerajaan Negeri yang memberi sumbangan kepada Cuepacs negeri," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment