My Add

Sunday 17 June 2012

Penduduk bakal terima loji rawatan air baru

KENINGAU, SABTU, 16 Jun, 2012: Menyedari keperitan hidup penduduk di Keningau yang mengalami masalah air, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM235 juta bagi membina sebuah loji rawatan air baru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi pinjaman peruntukan tersebut kepada kerajaan negeri, sebanyak lima buah tangki simpanan air akan dapat dibina bagi menyalurkan air bersih kepada penduduk di daerah tersebut.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga akan digunakan bagi pembinaan paip air mentah sepanjang empat kilometer dan paip transmisi sejauh 42.8 kilometer.

"Setelah melihat dan berbincang perkara tersebut dengan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), kerajaan mengambil keputusan untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM235 juta bagi membina sebuah loji rawatan air baru di daerah ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kraftangan Sabah yang bernilai RM30 juta, di sini hari ini.

Tambah Najib, proses reka bentuk projek tersebut telah disiapkan dan sedang dalam proses penyediaan dokumen tender, ia dijangka siap dalam tempoh 35 bulan.

Katanya, apabila projek tersebut siap nanti, ia bakal memberi manfaat kepada 200,593 orang, termasuk pengguna baharu menjelang 2030 di daerah tersebut. - UTUSAn

No comments:

Post a Comment