My Add

Tuesday 19 June 2012

Permohonan ketepi saman kaum Temuan ditolak

SHAH ALAM, ISNIN, 18 Jun, 2012: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan kerajaan Selangor dan dua lagi untuk mengetepikan saman masyarakat Orang Asli kaum Temuan di Mukim Tanjung Duabelas, Kuala Langat, berhubung aktiviti komersil di tanah yang didakwa diwarisi sejak turun-temurun, termasuk perlombongan pasir.

Hakim Dr. Prasad Sandosham Abraham memutuskan perkara itu dalam kamar selepas mendengar hujah peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili kaum Temuan, Peguam Persekutuan Nik Haizie Azlin Nabidin bagi kerajaan negeri Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat serta peguam Fida Izrina Izhar bagi Kumpulan Semesta Sdn. Bhd.

Mohamed Haniff Khatri, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati terdapat alasan kukuh bagi meneruskan kes tersebut melalui perbicaraan penuh.

Beliau berkata, hakim juga berpendapat adalah tidak selamat untuk menolak saman itu tanpa mendengar keterangan saksi.

Katanya, tarikh perbicaraan akan ditetapkan kemudian.

Pada Julai tahun lepas, Penghulu kaum Temuan, Malam anak Gerchang, 68, serta dua anak lelakinya, Dewi, 52, dan Jafrin, 41, yang mewakili kira-kira 4,000 penduduk di Mukim Tanjung Duabelas, memfailkan writ saman bagi memohon, antara lain, deklarasi bahawa tanah itu milik masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

Plaintif, yang turut diwakili peguam Serene Tan, juga memohon injunksi interlokutori terhadap semua defendan untuk menghentikan segala aktiviti termasuk perlombongan pasir di tanah berkenaan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment