My Add

Monday 4 June 2012

Polis tumpaskan tiga sindiket dadah

'Geng Masi' terbabit kes samun bersenjata ditahan di Ipoh

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Jun, 2012: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dengan merampas 28.8 kilogram ganja, 750 gram syabu serta 44,930 biji pil Eramin 5, dalam serbuan berasingan. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata dalam kes pertama Khamis lalu, polis menahan empat lelaki dan dua wanita tempatan dan merampas 44,930 biji pil Eramin 5 bernilai RM900,000.

"Dua serbuan dijalankan terhadap dua buah rumah iaitu di Kepong dan Bandar Seri Damansara. Polis mendapati enam suspek itu adalah sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergiat aktif di sekitar Lembah Klang," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kes kedua pada Rabu lalu, polis menahan seorang wanita warga Togo dipercayai keldai dadah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

"Wanita berusia 47 tahun itu ditahan kerana menelan kapsul yang mengandungi dadah jenis syabu ketika pemeriksaan di pintu masuk. 

"Hingga kini wanita terbabit mengeluarkan 55 ketulan kapsul dengan anggaran berat keseluruhan 750 gram bernilai RM200,000 dan suspek ditahan di Hospital Serdang kerana masih terdapat baki ketulan kapsul yang belum dikeluarkan," katanya. 

Pemeriksaan awal polis mendapati, wanita itu memasuki negara sebanyak 11 kali sejak 2008 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan raja dadah di Afrika Barat kerana polis menyifatkan wanita berkenaan mempunyai hubungan yang rapat dengan sindiket dadah antarabangsa dari negara berkenaan berdasarkan maklumat interpol. 

Noor Rashid berkata, bagi kes ketiga, polis menahan dua lelaki tempatan selepas hasil pemeriksaan ke atas beg yang dibawa mendapati terdapat 18 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dalam serbuan yang dijalankan di Dataran Selayang, Batu Caves pada Rabu lalu. 

"Susulan tangkapan ini, kita buat serbuan ke sebuah premis di Taman Amaniah, Batu Caves dan menemui tujuh lagi ketulan mampat daun kering menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 25 ketulan mampat daun kering seberat 28.8 kilogram dengan anggaran nilai RM90,000 hingga RM100,000. 

Beliau berkata, semua suspek dalam tiga kes berkenaan berumur 22 hingga 60 tahun dan ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Semua suspek ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Di IPOH: Polis percaya dapat menumpaskan kumpulan yang dikenali sebagai 'Geng Masi' berikutan penahanan empat lelaki kerana disyaki terbabit dalam kegiatan samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata empat lelaki itu yang berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun ditahan pada jam 4 pagi di sebuah restoran di Persiaran Desa Rishah di sini hasil maklumat orang awam.

“Polis turut merampas sebuah kereta dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang samun antaranya jam tangan, duit syiling, dompet, kamera, telefon bimbit, dan komputer riba berada di dalam kenderaan itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azisman berkata, polis turut merampas kereta jenis Proton Putra yang digunakan oleh geng berkenaan dalam kegiatan samun itu. 

Siasatan mendapati kumpulan ini melakukan samun pada tengah malam dan awal pagi dengan bersenjatakan parang di sekitar kawasan perumahan di bandar raya ini terutama di kawasan terpencil dan sunyi. 

“Dua daripada lelaki itu mempunyai 10 kes jenayah lampau membabitkan samun, dadah serta curi kereta dan mereka didapati terbabit dalam 15 kes sepanjang lima bulan pertama tahun ini,” katanya. 

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati mereka positif dadah dan ditahan reman lima hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. 

Azisman meminta orang ramai yang menjadi mangsa samun supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk mengenal pasti barangan milik mereka selain menyalurkan maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment