JOHOR BAHRU, SABTU, 23 Jun, 2012: Kerajaan membiayai 238 projek syarikat tempatan berteraskan teknologi dengan melibatkan dana RM434 juta menerusi pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi tempatan serta perolehan teknologi dari luar negara sejak 2006.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 153 projek berjaya mengkomersilkan produk mereka di dalam dan luar negara sekali gus menjana jualan berjumlah RM817.73 juta dengan nilai eksport RM206 juta dan nilai jualan pasaran tempatan RM612 juta.
Menurutnya, kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah menyediakan Dana Pengkomersialan Hasil R&D dan Dana Perolehan Teknologi (TAF) diberikan kerana kerajaan menyedari bahawa ekosistem dan persekitaran inovasi khususnya R&D adalah amat kritikal dalam menghasilkan produk-produk inovatif.
"Kerajaan sentiasa komited dalam memupuk dan membentuk sebuah masyarakat yang membudayakan sains, teknologi dan inovasi yang merupakan elemen penting dalam pembangunan negara di era kecanggihan ini," katanya semasa merasmikan Pusat UTM-MTDC Fasa II di sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment