My Add

Sunday 24 June 2012

Rosnah sangkal dakwaan kerajaan BN zalim

PAPAR, SABTU, 24 Jun, 2012: Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) zalim terhadap rakyat sebagai fitnah semata-mata untuk mengaburi mata rakyat supaya tidak menyokong kerajaan BN.

Beliau berkata sebaliknya rakyat kini menikmati pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan hasil proses transformasi dan juga penambahbaikan yang dilakukan demi kebaikan dan kesejahteraan hidup rakyat.

"Bantuan seperti BR1M, K1M, KR1M, Kar1sma, Menu 1Malaysia, Pr1ma dan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita dalam usaha menangani masalah belanja sara hidup rakyat Malaysia.

"Adakah ini dikatakan kerajaan yang zalim setelah pihak kerajaan BN melaksanakan pelbagai bantuan demi membantu meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup pada zaman sekarang?," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program 3S Mukim Biau, dekat sini hari ini.

Selain itu, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pengenalan Akta Perhimpunan Aman membuktikan kerajaan BN bertindak adil dan saksama.

"Kerajaan mendengar rintihan suara semua rakyat tidak kira dari pihak pembangkang sekalipun. Apa yang penting bagi kerajaan sebagai pemimpin kerajaan BN ialah setiap rintihan suara rakyat akan diperhalusi demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara kita," katanya.

Beliau yakin rakyat bijak memilih pemimpin atau kerajaan yang akan menerajui kepimpinan negara pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus memastikan masa depan rakyat yang lebih cerah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment