My Add

Saturday 9 June 2012

Semua janji Bajet 2012 dikota

 
      Oleh SAHBULLAH DARWI 
      dan OPAT RATTANACHOT
KULIM, JUMAAT, 08 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat sekarang.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah kerajaan, Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha untuk mengurangkan beban rakyat menerusi langkah-langkah yang difikirkan perlu.

Katanya, perkara itu termasuklah pemberian BR1M sebanyak RM500 kepada mereka yang layak menerusi pembentangan Bajet 2012 lalu.

“Semua yang pendapatan RM3,000 sudah dapat BR1M ini. Tuan-tuan dan puan-puan nak lagi? Saya tengah pikiaq-pikiaq (fikir-fikir)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 30,000 rakyat semasa merasmikan majlis Janji Ditepati Peringkat Kedah di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri Kabinet dan para pemimpin negeri.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan untuk meneruskan BR1M bagi pusingan kedua telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Muhyiddin berkata, bantuan itu boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan memperoleh peningkatan sumber pendapatan termasuk penambahan jumlah kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sehingga kini, dianggarkan seramai 4.78 juta orang telah menerima manfaat daripada pengagihan BR1M daripada keseluruhan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 bilion yang diluluskan kerajaan.

Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan telah melaksanakan semua janji-janji yang dibuat semasa pembentangan Bajet 2012 pada September lalu.

Katanya, selain BR1M, bantuan itu meliputi pemberian wang RM100 kepada pelajar sekolah, baucar buku, Klinik 1Malaysia, pengenalan Menu Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Kalau nak banding dengan pembangkang di belah sana, depa buat apa? Kita janji dikota, tapi depa janji diauta," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat termasuk di negeri Kedah memikirkan secara serius kerajaan yang mana lebih sesuai untuk memerintah.

Najib berkata, kerajaan BN juga telah mewujudkan satu hubungan yang kukuh dengan rakyat menerusi langkah mengotakan janji-janji yang dibuat sebelum ini.

“Kita sebagai kerajaan sentiasa hendak wujudkan satu hubungan dengan rakyat dan bukanlah berdasarkan kepada perasaan membuta tuli dengan menyokong atau taksub kepada pemimpin.

“Sebaliknya, hubungan ini mestilah berdasarkan satu ikatan tak boleh dirungkai. Ia berupa ikatan yang tersimpul mati kalaulah kerajaan dan pemimpin dapat tepati janji kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Najib berasa hairan dengan pemimpin parti pembangkang yang memberi tafsiran salah kepada fatwa ulama besar, Syeikh Yusof Qardawi yang mengatakan halal untuk menggulingkan kerajaan yang zalim.

“Sebenarnya fatwa itu dibataskan kepada Mesir dan Libya sahaja, ia tidak kepada Bahrain, Arab Saudi dan negara-negara lain seperti Malaysia.

“Sebab kita tidak zalim, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pun sudah tiada, malahan sesiapa pun boleh buat perhimpunan asalkan tidak melanggar undang-undang," katanya.

Perdana Menteri juga mahu rakyat memberi mandat yang lebih besar kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, ia penting bagi merancakkan lagi pembangunan negara untuk kesejahteraan rakyat pada masa depan.

Katanya, ketika ini angin perubahan bertiup kencang apabila rakyat beralih sokongan kepada BN hingga ramai pemimpin pembangkang sudah bersama BN.

“Yakinlah kepada BN sebab banyak lagi yang kita hendak buat sebenarnya. Tiga tahun ini cuma permulaan sahaja, ia sekadar perubahan awalan sahaja. Tiga tahun ini peringkat permulaan dalam perjalanan transformasi besar jika BN terus memerintah," jelasnya.

Tambahnya, BN juga mempunyai banyak idea pembangunan kepada negara, khususnya Kedah. BN akan membawa perubahan kepada rakyatnya dan anjakan politik pada pilihan raya akan datang.

“Oleh itu, rapatkan barisan kita, kalau kita nak menang, kita mesti bersatu, bersatu depan pemimpin dan bersatu belakang pemimpin, jangan depan lain belakang lain, insya-Allah kita kembalikan Kedah ke tangan BN dan sekarang kita sedang uruskan manifesto untuk Kedah dan negara," katanya.

“Kita bukan nak kemenangan sipi-sipi, kita nak kemenangan yang besar untuk kejayaan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment