My Add

Monday 18 June 2012

Tiada keputusan pengeluaran KWSP pada usia 60 tahun

KUALA LUMPUR, ISNIN, 18 Jun, 2012: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung had umur bagi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah membenarkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun. 

Sehubungan itu, beliau meminta para pencarum KWSP supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya pengeluaran wang simpanan bagi pekerja swasta hanya boleh dibuat selepas mencapai umur persaraan 60 tahun.

"Kerajaan belum putuskan apa-apa. Keputusan mengenainya akan diputuskan kemudian...mungkin sebelum kita buat bacaan kali kedua di Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Meningkatkan Taraf Pentadbiran Sistem Pertubuhan-Pertubuhan Sosial di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan pencarum KWSP mengenai had umur pengeluaran caruman yang kini boleh dibuat pada usia 55 tahun, berikutan pembentangan Rang Undang-Undang Persaraan Minimum 2012 untuk bacaan kali pertama di Parlimen Rabu lepas yang menetapkan umur persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari tahun depan. 

Mengikut rang undang-undang itu, majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai umur 60 tahun dan ia boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 jika berbuat demikian. 

Subramaniam berkata kementerian mengambil maklum mengenai kebimbangan para pencarum dan sedia berbincang dengan KWSP. 

"KWSP dan kementerian boleh bincang isu ini dan yakin boleh membuat satu keputusan yang boleh mendapat sokongan daripada semua pihak dan sudah tentu kita juga akan ambil pandangan daripada orang ramai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramanian berkata kementerian itu sedang berbincang dengan KWSP untuk mewujudkan skim pencen khas untuk pekerja swasta bagi mengatasi isu kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi. 

Beliau berkata pihaknya perlu mendapat persetujuan KWSP terlebih dahulu kerana penubuhan skim pencen bagi sektor swasta adalah di luar skop kerajaan dan hanya KWSP boleh melaksanakan skim itu. 

Keputusan belum dibuat dan kami akan mengadakan perbincangan seterusnya dengan KWSP. Kerajaan juga tidak mahu isu kemiskinan terjadi kepada pekerja swasta selepas mereka bersara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment