My Add

Saturday 16 June 2012

Utamakan kepentingan ummah

*NAJIB Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom dengan mufti-mufti luar negara pada Majlis Makan Malam sempena Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, malam 
tadi.

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 15 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat di negara ini perlu mengutamakan kepentingan ummah berbanding politik dengan menekankan konsep kesederhanaan dan tidak terlalu ekstrem dalam mengutarakan pendirian masing-masing.

Perdana Menteri berkata, tindakan keterlaluan dalam mengemukakan pandangan politik boleh mengundang padah seperti yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat menerusi 'Arab Spring', yang dianggap sesetengah pihak sebagai proses kebangkitan politik.

Hakikatnya, kata beliau, proses tersebut merupakan satu bentuk kegawatan politik di negara Islam dan ia memberi ruang kepada masyarakat lain untuk membentuk perspektif buruk terhadap kesucian agama Islam.

Keadaan itu menurut Najib, tidak akan membantu perspektif dunia terutama Barat terhadap Islam yang dilanda gelombang 'Islamophobia' iaitu perasaan takut terhadap agama tersebut.

"Hakikatnya, revolusi politik perlu disepakati dengan revolusi sosial dan revolusi minda dan perkara-perkara lain," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam dan Perasmian Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di sini malam ini.

Seminar anjuran bersama oleh Persatuan Generasi Bistari dengan MyKMU.net yang ditaja Naza Group of Companies tersebut berlangsung selama tiga hari bermula malam ini.

Ia menyaksikan penyertaan beberapa tokoh ilmuan Islam masa kini termasuk Imam Masjidil Haram Mekah, Syeikh Maher al-Mueaqly.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, sejak bermulanya 'Arab Spring' pada Disember 2010, keadaan di Asia Barat tidak banyak berubah dengan ekonomi di kawasan itu masih berhadapan dengan kesukaran, keadaan politik yang berpecah belah dan rakyat terus menghadapi kesulitan.

Justeru, beliau menggesa masyarakat Malaysia terutama golongan muda supaya mengambil iktibar daripada keadaan politik di negara-negara berkenaan dengan mengekalkan keamanan hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang terhasil selama ini.

Dengan itu, katanya, para pemimpin negara akan sentiasa memastikan rakyat akan terus hidup dalam keadaan sejahtera dengan menerapkan kualiti kepimpinan dalam Islam.

Dalam masa sama, jelas beliau, masyarakat atau pengikut pula perlu menampilkan ciri-ciri yang akan membangunkan ummah seperti memberikan kerjasama tidak berbelah bahagi terhadap pemimpin selagi pemimpin tersebut menjalankan tanggungjawab dalam lingkungan syariat.

"Kita perlu mengekalkan kejayaan negara menyanggah tanggapan stereotaip bahawa Islam itu autokratik, mempunyai banyak sumber asli tetapi gagal diurus dengan baik dan tiada keadilan sosial," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment